Wednesday, 11 June 2014

Kemalangan di Jalan Raya

03:42 Posted by Unknown No comments
Sejak akhir-akhir ini didapati kadar kemalangan jalan raya semakin
meningkat di negara kita. Dapat dilihat banyak kemalangan yang mengorbankan
nyawa berlaku terutamanya menjelang musim perayaan. Kebanyakan individu yang menjadi
mangsa terdiri daripada golongan remaja dan belia. Oleh yang demikian, semua
pihak haruslah memikirkan dan mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan kadar
kemalangan di jalan raya.

Pelbagai cara harus diambil bagi mengurangkan kadar kemalangan. Salah satunya adalah melalui kempen keselamatan jalan raya yang disiarkan dan dipaparkan melalui media elektronik dan media cetak. Contohnya, pihak Jabatan Penerangan mencetak dan mengedarkan poster-poster berkaitan kempen ini kepada orang ramai dan ditampal di tempat-tempat umum. Melalui televisyen juga ada disiarkan rintihan hati individu yang kehilangan ahli keluarga akibat terlibat dalam kemalangan. Dengan adanya kempen ini, banyak memberi kesedaran kepada orang ramai agar lebih berhati-hati dan lebih berhemah semasa berada di jalan raya.

Seterusnya penguatkuasaan undang-undang jalan raya oleh pihak-pihak yang berkenaan haruslah di buat. Pihak Jabatan Pengangkutan Jalan dan Polis Diraja Malaysia perlu menggiatkan operasi sekatan jalan raya kepada semua pengguna jalan raya tidak hanya terhad semasa musim perayaan sahaja . Setiap kesalahan yang dilakukan oleh pengguna jalan raya dikenakan denda saman yang tinggi. Ekoran itu pelanggaran peraturan jalan raya dapat dikurangkan. Hal ini diharapkan dapat menyumbang ke arah penurunan kadar kemalangan di Negara kita.

Di samping itu, pemeriksaan kenderaan berkala perlu dibuat oleh pemilik kenderaan sebelum memulakan perjalanan. Pemeriksaan boleh dibuat di Puspakom bagi memastikan kenderaan berada dalam kondisi yang baik dan sesuai digunakan di jalan raya. Sehubungan itu, pemilik kenderaan dapat melalui perjalanan dalam keadaan yang selamat.

Keadaan kesihatan yang baik kepada semua pengguna jalan raya juga amat penting terutamanya kepada pemandu kenderaan awam dan penunggang-pengunggang motosikal. Mereka memerlukan rehat dan tidur yang cukup sebelum memulakan perjalanan. Ini dapat mengelakkan mereka daripada keletihan dan mengantuk ketika memandu. Oleh itu, dapat menyelamatkan banyak nyawa untuk sampai dengan selamat ke destinasi masing-masing.

Sebagai kesimpulan, banyak faktor yang boleh diambil untuk membendung kadar kemalangan jalan raya yang semakin menjadi-jadi. Oleh itu,bersama-samalah kita mengambil langkah-langkah yang perlu bagi mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya. Berhati-hati semasa memandu,ingatlah orang tersayang.

0 comments:

Post a Comment